8 bulan penjara curi wang mesin kerusi urut

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Seorang lelaki dan wanita yang mengaku bersalah mencuri wang dari mesin kerusi urut di kedai dobi, masing-masing dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Hukuman terhadap Mohammad Shamrin bin Jumat, 32, dan Norsidahwati binti Mohd Tuddin, 51, dijatuhkan Majistret Kanan Hajah Azrimah binti Haji Abdul Rahman.

Dalam kejadian pada 5 Februari 2020 kira-kira jam 11:30 malam di sebuah kedai dobi yang terletak di Kampung Serasa, Mohammad Shamrin menyungkit mesin kerusi urut Gintell Rest N Go menggunakan gunting sekali gus menyebabkan kerosakan manakala Norsidahwati bertindak sebagai pemerhati kawasan sekeliling.

Mohammad Shamrin sekali lagi melakukan kesalahan sama pada sebuah lagi mesin kerusi urut.

Dia dan Norsidahwati kemudian meninggalkan dobi itu, dan pergi ke kedai runcit berdekatan untuk membelanjakan wang yang diperolehi.

Kerosakan pada mesi kerusi urut hanya disedari pada 8 Februari 2020 apabila pekerja dobi membuat pemeriksaan rutin.

Rakaman kamera litar tertutup di dobi mendedahkan perbuatan tertuduh.

Kedua-dua tertuduh berjaya ditahan polis selepas laporan dibuat.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli.