8 bulan penjara kerana $125

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Seorang lelaki warga Indonesia berusia 29 tahun telah dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas dia mengaku salah terhadap beberapa dakwaan mencuri.

Nanang Eko Prasetyo, seorang buruh mengaku mencuri wang $125 dan pendrive dalam insiden berasingan daripada rakannya.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli memaklumkan Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu bahawa tertuduh melakukan perbuatan curi $25 dan pendrive pada jam 4 pagi 8 Julai lalu di kediaman mereka di Kampung Sengkurong.

Manakala pada hari berikutnya, di tempat kerja di Rimba Point, tertuduh pergi berehat di bilik lokar apabila dia terlihat lokar mangsa yang sama terbuka. Dia melihat ke dalam lokar dan mengeluarkan sampul surat yang mengandungi wang $100 dan mencurinya.

Mangsa membuat laporan polis bagi kedua-dua insiden berkenaan dan hasil daripada siasatan telah membawa kepada penahanan tertuduh.