Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    8 daripada puak Dusun lafaz Dua Kalimah Syahadah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Sebuah keluarga seramai tujuh orang dan seorang perempuan berbangsa Dusun telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman berasingan di Daerah Tutong dan Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

    Pengislaman keluarga daripada puak Dusun berkenaan telah berlangsung di sebuah rumah di Kampung STKRJ Telisai, Daerah Tutong di mana hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan majlis penuh keberkatan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhomat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Dengan majlis pengislaman berkenaan, Yaju bin Angin kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Muhammad Yazdan bin Angin, sementara itu, anak-anaknya Zulkifli bin Yaju kini dikenali sebagai Muhammad Zulkifli bin Muhammad Yazdan dan Zulasmi bin Yaju sebagai Muhammad Qaiser Azmi bin Muhammad Yazdan.

    Ahli keluarga lain, Fahrezan Aiman bin Zulkifli kini dikenali sebagai Fahrezan Aiman bin Muhammad Zulkifli, Fahari Haikal bin Zulkifli sebagai Fahari Haikal bin Muhammad Zulkifli, Yamboi @ Amboi binti Yambun @ Ambun sebagai Nur Aisyah binti Yambun dan Maya Sundek sebagai Maya Maisarah binti Sundek.

    Majlis pengislaman disempurnakan oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Pengembangan Dakwah (Unit Dakwah Daerah Tutong), Pusat Dakwah Islamiah (PDI).

    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyampaikan cenderahati kepada saudara baharu pada majlis pengislaman di Tutong.
    Tujuh sekeluarga berbangsa Dusun melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis tersebut.
    Brigadier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pengislaman di Daerah Brunei dan Muara.
    Dayang Fazrina melafazkan ikrar pengislaman pada majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan, PDI, Kampung Pulaie.

    Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian cenderahati daripada PDI kepada saudara-saudara baharu yang disempurnakan oleh tetamu kehormat serta penyampaian replika penanda kiblat daripada Jabatan Ukur.

    Kemudian, majlis diserikan lagi dengan laungan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai kepada saudara baharu yang diraikan dan diikuti dengan bacaan Doa Selamat.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Tenaga di JPM, Haji Azhar bin Haji Yahya; Timbalan Setiausaha Tetap (Wawasan, Kewangan dan Kabinet) di JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin; Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh; Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar; Ketua Pegawai Eksekutif Setia Protective Security Service, Leftenan Kolonel (B) Iskandar bin Dato Paduka Haji Yahya; Kolonel (B) Dato Paduka Haji Jumat bin Haji Zakaria dan datin; Pemangku Penolong Juruukur Agung, Awang Abdul Malik bin Haji Abdul Hamid, dan Ketua Pegawai Ugama, Pejabat Hal Ehwal Daerah Tutong, Haji Azman bin Haji Musa.

    Manakala itu, di Daerah Brunei dan Muara, majlis pengislaman Fazrina binti Tuah yang berusia 27 tahun telah berlangsung di Dewan Persidangan, PDI, Kampung Pulaie.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Brigadier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji lbrahim.

    Majlis pengislaman Dayang Fazrina disempurnakan oleh pegawai dari Bahagian Pengembangan Dakwah (Pengislaman).

    Majlis diteruskan penyampaian cenderahati yang disempurnakan oleh tetamu kehormat dan seterusnya menabur bunga rampai, diikuti dengan laungan Dikir Marhaban dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...