Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    8 hilang tanah runtuh di Keningau

    KINABATANGAN, 2 April – Lapan orang yang hilang dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sungai Labau Sook Keningau semalam, belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini ditangguhkan pada jam 6 petang.

    Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata operasi itu akan disambung esok pada jam 7:30 pagi membabitkan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Pasukan Bomba dan Penyelamat.

    Katanya, mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan empat perempuan rakyat Filipina itu hilang dalam kejadian kira-kira jam 12:19 tengah hari. Nahas berlaku bila tanah runtuh dari bukit menghempap tiga dari lapan rumah pekerja ladang kelapa sawit Seng Fo.

    Menurutnya laporan awal identiti empat mangsa perempuan dikenali sebagai Asma, 36; Ana, 16; Titiwana, 12; dan Alisan, 8.

    Empat mangsa lelaki ialah Sabril, 10; Alan, 11; Johati, 11; dan Azril, 6.

    Rumah kongsi yang roboh akibat ditimbus tanah runtuh di Ladang Kelapa Sawit Fen Su, Kampung Alitang Tongod, Keningau kelmarin. – Gambar APM
    Rumah kongsi yang roboh akibat ditimbus tanah runtuh di Ladang Kelapa Sawit Fen Su, Kampung Alitang Tongod, Keningau kelmarin. – Gambar APM
    Tanah runtuh yang berlaku di Ladang Kelapa Sawit Fen Su, Kampung Alitang, Tongod menyebabkan berlaku banjir lumpur di Sungai Labau. – Gambar APM
    Tanah runtuh yang berlaku di Ladang Kelapa Sawit Fen Su, Kampung Alitang, Tongod menyebabkan berlaku banjir lumpur di Sungai Labau. – Gambar APM

    Beliau berkata tiga mangsa terselamat dalam kejadian itu dikenali sebagai Jalikah Malingkul, 50, (perempuan); Abdul, 50, (lelaki); dan Joshnam bin Abdul, 18, (lelaki).

    Menurut kenyataan beliau kelmarin, tujuh orang termasuk tiga kanak-kanak dikatakan hilang dipercayai tertimbus dalam kejadian berkenaan.

    Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Unit Keningau dan Tenom, Staf Muda Bakri Isin, Skuad Alpha kelmarin menerima panggilan dari Balai Polis Keningau memohon bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

    Katanya, polis menerima aduan daripada pengurus sebuah ladang kelapa sawit di kampung itu yang mengatakan tanah runtuh itu berlaku kira-kira 12:19 tengah hari dan turut menghempap rumah pekerja ladang kelapa sawit berkenaan.

    “Rentetan daripada panggilan (Balai Polis Keningau) itu, anggota APM Keningau yang bertugas bergegas ke lokasi kejadian.

    “Pada awalnya, pengadu mengatakan terdapat 11 orang hilang. Tetapi setibanya anggota APM di lokasi, pengadu memaklumkan empat mangsa (daripada 11) berjaya diselamatkan,” katanya.

    Bakri berkata sebuah jambatan yang menjadi penghubung jalan ke lokasi kejadian mengalami kerosakan dan laluan alternatif sedang dikenal pasti.

    Turut menyertai operasi itu ialah empat anggota dari Balai Polis Kinabatangan dan dua pegawai serta lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, katanya.

    Sementara itu, Pegawai APM Unit Tongod dan Telupid Staf Muda Adrian Dauli berkata pihaknya turut memantau kes tersebut memandangkan tempat kejadian berhampiran dengan Sungai Milian dalam daerah Tongod.

    “Kami telah menggerakkan logistik dan aset APM Tongod dan Telupid dengan lima anggota kira-kira 10:30 pagi tadi untuk memberi kekuatan tambahan kepada operasi itu,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda