Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Lapan orang kakitangan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), hari ini, telah diraikan pada majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di dewan bangunan baru, pusat tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya memimpin bacaan Surah Al-Fatihah ialah isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Asbi.
Turut hadir ialah Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman, warga kerja dan pelajar-pelajar Pusat Ehsan.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan ayat-ayat lazim, takhtim dan Doa Kesyukuran yang telah dipimpin oleh peserta khatam, Ketua Guru Agama, Awang Sanif bin Haji Tarip.
Majlis seumpama ini julung-julung kalinya dianjurkan Pusat Ehsan dan dirancang akan menjadi salah satu aktiviti keagamaan tahunan pusat berkenaan.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut diadakan sebagai menandakan berakhirnya penyempurnaan bacaan Al-Quran juzuk 30 sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.