8 keluarga dipindahkan, sungai Kinabatangan meningkat ke paras amaran

KINABATANGAN, 24 JAN – Seramai 28 orang daripada lapan keluarga termasuk seorang anak damit berusia seminggu, di Pangkalan Bukit Garam dekat sini berpindah ke Balai Raya Pangkalan berikutan paras air di Sungai Kinabatangan meningkat ke paras amaran walaupun tiada hujan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinabatangan Kapten Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata rumah penduduk yang terlibat terletak di tepi sungai, justeru lantai rumah mereka ditenggelami air apabila paras air sungai itu tinggi dan melimpah.

Beliau berkata peningkatan paras air itu berpunca daripada air dua batang sungai iaitu Sungai Kuamut dan Sungai Pinangoh melimpah ke Sungai Kinabatangan.

“Pemantauan oleh APM dan Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan bermula semalam menunjukkan peningkatan paras air secara mendadak sehingga melebihi 9.3 meter paras amaran dengan bacaan 9.34 meter. Paras bahaya adalah pada 10.3 meter.

“Keadaan ini memberi kesan kepada penduduk yang membina rumah berhampiran sungai pada ketinggian sehingga empat kaki (1.2 meter) dari paras muka bumi…penduduk berpindah secara sukarela,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Bernama