Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    8 ketua pesuruhjaya pengakap hadiri mesyuarat ASARC

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Ketua-ketua pesuruhjaya pengakap dan pesuruhjaya antarabangsa dari lapan buah negara iaitu Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah, Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam telah menghadiri Mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Serantau Pengakap ASEAN (ASARC) ke-8 yang berlangsung di Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Jalan Gadong, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, di sini, hari ini, mesyuarat itu turut dihadiri oleh Pengerusi ASARC, Atty. Wendel E. Avisado dari Boy Scouts of Philippines; Setiausaha Agung ASARC, Dr. Mohd Effendy bin Rajab dari The Singapore Scout Association; Timbalan Setiausaha Agung 1 ASARC, Brata Tyrana Hardjosubroto dari Gerakan Pramuka Indonesia; dan Timbalan Setiausaha Agung 2 ASARC, Rajalingam Ramasamy dari Persekutuan Pengakap Malaysia.

    Mesyuarat berkenaan membincangkan dan mengemaskinikan beberapa perkara termasuk mengesahkan minit mesyuarat ASARC di Jakarta, Indonesia pada 13 Ogos 2016 lalu, pengesahan akreditasi ASARC dengan Sekretariat ASEAN, Jambori Pengakap ASEAN ke-6 di Tagum City, Davao, Filipina pada 27 November hingga 2 Disember nanti serta pembentangan kegiatan daripada Pertubuhan Pengakap Negara Vietnam.

    Selain menghadiri mesyuarat berkenaan, semua delegasi negara turut dibawa melawat ke Tapak Projek Penanaman Pokok PPNBD, di Jalan Liang-Labi, Kampung Sungai Mau, Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait bagi meninjau projek penanaman pokok seluas empat hektar yang telah diusahakan oleh PPNBD sejak 2008.

    Para delegasi juga telah kesempatan menanam pokok Tulung dan pokok Kapur sempena memperingati mesyuarat ASARC yang julung kali diadakan di Negara Brunei Darussalam.

    Delegasi ASARC bergambar ramai semasa mesyuarat berkenaan.
    Atty. Wendel Eliot Avisado dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Brunei, Haji Badar bin Haji Ali ketika menanam pokok di Tapak Projek Penanaman Pokok PPNBD.

    Menurut kenyataan PPNBD, Deklarasi Pertubuhan Kerjasama Serantau Pengakap ASEAN telah dimeterai pada 5 September 2007 di Kuala Lumpur semasa Persidangan Pengakap ASEAN yang pertama dengan penyertaan enam buah negara iaitu Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand.

    ASARC dihasratkan dan dirumuskan daripada semangat ASEAN, seperti yang dinyatakan dalam piagam ASEAN, ASARC memegang integriti dan kebijaksanaan ASEAN dalam meningkatkan persahabatan, persaudaraan dan memupuk kerjasama dalam kalangan persatuan-persatuan pengakap di negara ASEAN.

    Untuk mencapai hasil ini, mesti ada upaya bersepadu dalam kalangan negara anggota untuk memastikan bahawa terdapat aktiviti yang sesuai dan penyertaan maksimum pada setiap peringkat yang dapat difikirkan.

    Walaupun ASARC secara rasmi ditubuhkan di Kuala Lumpur 2007, semangat persaudaraan itu bermula jauh sebelum negara Filipina menjadi tuan rumah kepada Jambori Pengakap ASEAN Pertama pada 1999.

    Ia merupakan satu fakta yang diketahui bahawa keahlian pengakap di rantau ASEAN adalah lebih daripada 60 peratus ahli pengakap yang berdaftar dalam Pergerakan Pertubuhan Pengakap Sedunia di mana Indonesia mempunyai 21 juta ahli pengakap, Filipina mempunyai tujuh juta ahli pengakap dan Thailand lebih empat juta ahli pengakap yang berdaftar.

    Manakala Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Singapura, Kemboja, Laos, Myanmar, Timor Leste dan Vietnam mempunyai jumlah lebih 500 ribu orang ahli pengakap yang berdaftar.

    Menurut kenyataan itu lagi, penubuhan ASARC bermatlamat untuk menggalakkan dan meningkatkan kerjasama bersama, persaudaraan dan perpaduan untuk ASEAN dengan bekerjasama rapat antara satu sama lain dalam menyelaraskan usaha dan program untuk faedah rakyat terutama dalam kalangan belia, mengukuhkan kerjasama antara negara-negara ASEAN berdasarkan prinsip pengakap dan piagam ASEAN, untuk membantu pembangunan dan promosi pengakap di negara-negara ASEAN serta untuk menangani isu-isu pengakap yang berkaitan apabila dan keperluan yang timbul.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda