8 Korban noul di kemboja, vietnam

HANOI, VIETNAM, 18 SEPT – Taufan Tropika Noul melanda tengah Vietnam hari ini, mengorbankan seorang manakala tujuh lagi maut akibat dipanah petir biasan taufan itu di negara jiran, Kemboja.

Panahan petir terkena sebuah rumah kayu ketika orang di dalamnya sedang makan di wilayah Battambang, barat daya Kemboja pada malam kelmarin. Mereka yang maut termasuklah sebuah keluarga empat orang dan tiga sanak saudara mereka, kata Keo Vy, jurucakap bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan.

Selepas melanda Vietnam, Taufan Tropika Noul lemah tekanannya, menurut laporan televisyen VTV.

Taufan itu mengakibatkan hujan lebat dan angin kencang di beberapa wilayah pesisir pantai, menumbangkan pokok dan menerbangkan bumbung. Di wilayah Hue, seorang lelaki mati akibat dihempap pokok tumbang. Sekurang-kurangnya 23 yang lain cedera, lapor VTV. Vietnam memindahkan sekitar 60,000 orang dalam laluan taufan dan membatalkan 40 penerbangan dalam negeri.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi di Thailand turut mengeluarkan satu amaran hari ini mengatakan hujan daripada taufan itu akan melanda seluruh negara, terutamanya di wilayah utara dan barat daya. Media tempatan melaporkan hujan lebat dan banjir di wilayah Khon Kaen pagi ini. – AP

Penunggang motosikal mengelak pokok tumbang akibat dihentam Taufan Tropika Noul di bandar Hue, Vietnam, 18 September. Lapan maut akibat taufan itu di Vietnam dan Kemboja, manakala Thailand mengeluarkan amaran banjir. – AFP