Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    8 kumpulan berentap pertandingan puisi

    Oleh Faridah Haji Ibrahim

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Okt – Lapan buah kumpulan akan berentap dalam Pertandingan Manifestasi Puisi/Dekon sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, 2017 anjuran Dewan  Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan Putra Seni (KPS), malam ini.

    Pertandingan berlangsung pada Malam Muzikalisasi Puisi Sembah Daulat’ di Pentas Perayaan kawasan letak kereta berhadapan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja Bandar Seri Begawan.

    Kumpulan-kumpulan tersebut ialah Kumpulan NurulIman, Kumpulan Seni Warisan, Kumpulan Seri Berunai, Kumpulan Senandung Warisan, Kumpulan Merpati Putih, Kumpulan Anak Seni Brunei, Kumpulan Kreativa dan Kumpulan Nur Islam.

    Menurut Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, Muzikalisasi Puisi merupakan wadah yang tepat dengan kemeriahan menyambut dan menyemarakkan sambutan majlis adat istiadat yang gilang-gemilang.

    Hasil seni karya penulis dipersembahkan kepada khalayak melalui Pertandingan Manifestasi Puisi/Dekon, Persembahan Teater Pantun dan Persembahan Melayu sebagai wahana ikatan kasih rakyat dan raja serta syukur atas kepimpinan, sikap pemedulian, keprihatinan dan kemurahan hati pemimpin negara kepada rakyat khasnya dan masyarakat amnya di Negara Brunei Darussalam.

    Awang Suip bergambar ramai dengan ketua kumpulan yang bakal berentap di pertandingan itu.

    Puisi merupakan salah satu genre persuratan Melayu dan seni sastera yang penting di mana di dalamnya dicurahkan segala fikiran dan pemikiran yang merangkumi hal ehwal kehidupan raja, agama, negara, bangsa yang lengkap dengan nilai-nilai ketatanegaraan atau politik, sosial, seni dan falsafah.

    Selain untuk menyemarakkan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta, pertandingan tersebut bertujuan memberi ruang dan peluang kepada penyair dan penggiat seni tanah air terutama para belia untuk mempersembahkan catatan sejarah kegemilangan 50 tahun pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui seni pengucapan; mengangkat martabat dan mengembangkan majukan bahasa dan sastera Melayu.

    Ia juga bagi menggalakkan rakyat dan penduduk di negara ini agar menghargai dan mencintai bahasa dan sastera Melayu serta melestari genre puisi Melayu sebagai warisan seni sastera yang kekal mekar hingga sekarang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda