8 Langgar arahan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Lapan pelanggaran arahan telah dikeluarkan denda kompaun sepanjang Operasi Peralihan yang dilaksanakan dari 10 malam hingga 4 pagi tadi.

Daripada jumlah itu, tujuh kesalahan adalah pelanggaran untuk berada di rumah dan satu lagi kesalahan tidak memiliki aplikasi BruHealth, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataannya pula mengongsikan bahawa empat daripada kesalahan berkenaan dicatatkan di Daerah Brunei dan Muara dengan empat lagi di Daerah Tutong.

PPDB bersama agensi penguatkuasaan yang berkaitan memandang serius terhadap sebarang pelanggaran arahan yang dilakukan di sepanjang Fasa Peralihan berkuat kuasa.

Semasa fasa ini, orang ramai ditegaskan untuk tidak bersikap alpa dan mengambil mudah dengan kelonggaran yang diberikan pihak kerajaan. PPDB juga menasihatkan orang ramai untuk tidak mementingkan diri sendiri, sentiasa berwaspada dengan antara satu sama lain.

Kesiapsiagaan kerajaan dalam mempersiapkan negara menyusuri Fasa Peralihan amatlah disanjung dan dihargai yang mana kebajikan dan kesejahteraan kesihatan masyarakat sentiasa didahulukan dan diutamakan.

Justeru, sokongan penduduk dan rakyat di negara ini amat diperlukan bagi memastikan proses pemulihan melalui fasa ini dilaksanakan dengan selamat, berwaspada dan membuahkan hasil dengan jayanya.