MEDELLIN, 22 NOV – Lapan penumpang dan kru terkorban apabila pesawat kecil dinaiki mereka terhempas di kawasan perumahan di Medellin, Colombia, pagi semalam.
Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Olaya Herrera itu melaporkan kegagalan enjin sebelum merempuh sebuah rumah.
Akaun Twitter lapangan terbang terbabit menyebut bahawa mangsa terdiri daripada enam penumpang dan dua anak kapal.
Tiada mangsa yang cedera atau terbunuh dilaporkan di dalam kediaman yang mengalami kerosakan teruk dalam kejadian itu.
Pesawat Piper dengan enjin berkembar itu dilapor dalam penerbangan dari Medellin ke bandar Pizarro. Pesawat malang itu melaporkan kegagalan enjin semasa berlepas namun tidak berjaya dalam usahanya berpatah balik ke Lapangan Terbang Olaya Herrera.
Pesawat itu kemudian merempuh sebuah rumah, memusnahkan seluruh tingkat atas kediaman itu.
Medellin terletak di lembah sempit dikelilingi banjaran pergunungan Andes. – AFP