8 maut pesawat terhempas di Milan

ROM, 4 OKT – Lapan orang maut apabila pesawat kecil peribadi terhempas ke sebuah bangunan di Milan, Itali.

Seorang pegawai bomba di San Donato Milanese, mengesahkan kepada Xinhua, pesawat Pilatus PC-12 terhempas ke bangunan dua tingkat yang sedang diubahsuai, mengorbankan juruterbang, pembantu juruterbang, dan enam penumpang termasuk seorang kanak-kanak.

Pesawat itu dalam perjalanan antara lapangan terbang Milan dan lapangan terbang Olbia, dalam kepulauan Itali Sardinia. Juruterbang dilaporkan membuat panggilan kecemasan sejurus selepas berlepas.

Pihak media juga melaporkan menurut saksi, enjin pesawat tersebut mengalami kebakaran sewaktu pesawat tersebut terjunam, dengan beberapa bahagian pesawat kelihatan berguguran sewaktu masih dalam penerbangan.

Tizian Siciliano, seorang pendakwa raya di milan, bersumpah untuk membuka siasatan dalam menentukan individu yang bertanggungjawab atas bencana tersebut.

Menurut laporan berita, Siciliano juga mendedahkan kotak hitam – sebuah alat rakaman yang dilindungi yang ada pada setiap pesawat dan merupakan kunci utama siasatan bagi kemalangan udara – telah selamat dijumpai. – Xinhua

Gambar Penyelamat Bomba bertugas dalam insiden pesawat terhempas di Milan, Itali pada 3 Okt, 2021. – Xinhua