Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    8 pekerja masih belum berdaftar TAP, SCP

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Lapan orang pekerja tempatan didapati masih belum didaftarkan di bawah skim TAP dan SCP semasa lawatan operasi sepadu oleh Tabung Amanah Pekerja (TAP) ke 46 premis majikan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan, baru-baru ini.

    Manakala, majikan yang gagal menunjukkan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa lawatan telah pun diarahkan untuk membuat perjumpaan ke pejabat TAP bagi tindakan selanjutnya dan memastikan pekerja-pekerja tersebut didaftar dan dicarumkan.

    TAP dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, mengongsikan bahawa lawatan Operasi Sepadu itu tertumpu di premis-premis perniagaan sekitar kawasan Gadong.

    Antara objektif lawatan ini adalah bagi memastikan majikan telah menjalankan tanggungjawab bagi pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja-pekerja tempatan ke dalam Skim TAP dan SCP selaras dengan Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan (SCP), 2009.

    Lawatan Operasi Sepadu ini juga turut melibatkan pelbagai agensi dari Jabatan Bandaran, Jabatan Bomba, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Pengangkutan Darat dan Unit Sukatan dan Timbangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Pegawai TAP semasa menjalankan pemeriksaan di salah sebuah premis perniagaan di kawasan Gadong. – Gambar serahan TAP

    TAP mengingatkan majikan mengenai tanggungjawab mereka untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak ke skim TAP dan SCP.

    Pekerja tetap, pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari dan pekerja di dalam tempoh percubaan yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat adalah wajib didaftarkan dan dicarumkan ke skim TAP dan SCP.

    Di bawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja, jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

    Pekerja yang ingin membuat sebarang aduan mengenai caruman yang tidak dibayar atau belum didaftarkan, bolehlah mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382929 semasa waktu bekerja.

    Sementara itu, bagi ahli yang telah berdaftar ke perkhidmatan online TAP, e-Amanah, aduan bolehlah dibuat dengan melog masuk ke akaun ahli melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...