8 pelajar PTET berlepas ke Singapura

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Lapan orang pelajar Tingkatan Enam Bawah dari Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) telah terpilih untuk mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Singapore Technologies Endowment Programme (STEP)-Sunburst Youth Camp (SYC) 2019 yang berkangsung Singapura bermula hari ini hingga 7 Disember.

Rombongan yang diketuai oleh Timbalan Pengetua dan Pegawai Pelajaran, PTET, Awang Muhammad Shahnofazli bin Haji Sabli berlepas ke Singapura untuk menyertai kem belia berkenaan, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, SYC mengumpulkan pemimpin-pemimpin belia dari Asia yang mana para pelajar akan menjalani program intensif dan bermanfaat sepanjang berada di Singapura.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang perkhemahan itu ialah Team Building Quest di Sentosa, High and Low Elements, pengembaraan warisan budaya di sekitar Singapura, kesenian, persembahan kebudayaan, pameran serta pembentangan.

Gambar ramai rombongan pelajar yang menyertai SYC 2019 sebelum berlepas ke Singapura. – Gambar oleh Kementerian Pendidikan