Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 16 Jan – Lapan orang pelajar telah terpilih bagi mengikuti Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) Tahun 1 pengambilan ke-21 bagi tahun 2018-2019, peringkat Daerah Tutong.
Para peserta yang dipilih telah memulakan pendaftaran mereka secara serentak di keempat-empat daerah di pusat-pusat pembelajaran STAR iaitu di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain bagi Daerah Tutong, baru-baru ini.
Semasa sesi pendaftaran dijalankan, taklimat juga telah disampaikan oleh Pegawai Bahagian IRK, Jabatan Pengajian Islam (JPI) Tutong, Awang Mohammad Taib bin Jainal yang juga selaku Penyelaras STAR Daerah Tutong.
Taklimat menerangkan mengenai skim tersebut yang akan dijalankan selama dua tahun dan dijalankan setiap Jumaat dan Ahad semasa penggal persekolahan. Mereka yang lulus Ujian Akhir Tahun 2 dengan mendapat keputusan Gred ‘A’ atau ‘B’ akan ditawarkan mengikuti Skim Lanjutan STAR selama setahun.
Taklimat juga mengongsikan beberapa modul latihan dan aktiviti sepanjang skim dijalankan antaranya latihan asas senaman pernafasan dan suara, pembelajaran di bilik darjah, ceramah, latihan persembahan bacaan Al-Quran di atas pentas secara perseorangan dan berkumpulan dan banyak lagi.
STAR merupakan skim yang dikendalikan oleh JPI bagi melahirkan remaja yang berpotensi dalam bidang pembacaan Al-Quran secara bertaranum.
Ia mula ditubuhkan pada 1997 dengan objektif untuk melatih dan membimbing remaja dalam pembacaan Al-Quran melalui lagu-lagu tilawah yang masyhur.
Matlamat skim adalah untuk melahirkan pembaca-pembaca Al-Quran remaja yang berpotensi yang dihasratkan akan menjadi pelapis qari dan qariah negara peringkat kebangsaan.