8 pelanggan Baiduri Capital terima hadiah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Baiduri Capital telah mengadakan majlis penyampaian hadiah bagi dua kumpulan terakhir pemenang dalam Kempen Investing in Your Tomorrow yang berlangsung di Atrium, Ibu Pejabat Bank Baiduri, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, kempen itu merupakan sebahagian daripada usaha Baiduri Capital untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya untuk belajar bagaimana untuk melabur dan memberikan penghargaan kepada klien mereka bagi sokongan berterusan sejak penubuhannya enam tahun lalu.

Kenyataan menyatakan bahawa terdapat tiga orang pemenang hadiah utama bagi Mac dengan Chan Chin Hua memenangi hadiah pertama berupa penginapan tiga hari dua malam di The Empire Brunei dan Dyson Pure Cool purifier fan.

Hadiah kedua iaitu set televisyen Samsung 65-inci QLED Ultra HD dengan Dyson V7 Absolute Plus cordless vacuum cleaner pula dimenangi oleh Lau How Kun dan See Wee Tiong memenangi hadiah ketiga iaitu sebuah Microsoft Surface Pro 7 Tablet dengan aksesori lengkap termasuk Surface Pro Type Cover, Surface Pen dan Surface mouse. Manakala itu, hadiah bagi lima orang pemenang Februari iaitu baucar membeli-belah bernilai $250 telah dimenangi oleh Roger Lim Jin Aik, Pengiran Mohammad Daniel Zakaria bin Pengiran Sabri, Chan Chiu Liang, Wong Sai Ngo dan Han Pau Ting.

Hadiah bagi kedua-dua kumpulan pemenang berkenaan disampaikan oleh Pengurus Besar Baiduri Capital, Peng Eng Soon.

Kenyataan menjelaskan bahawa kempen itu berjalan dari November 2020 hingga penghujung Mac lalu dan dibuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada Baiduri Capital.

Bagi setiap pelaburan $1,000 dalam securities termasuk saham dan Exchange Traded Funds (ETFs), bonds atau unit trusts semasa tempoh promosi, pelanggan layak menerima satu penyertaan untuk memenangi hadiah-hadiah menarik dalam cabutan bulanan atau cabutan utama di akhir tempoh promosi berkenaan.

Peng Eng Soon bergambar ramai bersama para pemenang bagi Februari dan Mac. – Gambar serahan Bank Baiduri