8 tapak geologi layak jadi Geopark kebangsaan

LABUAN, 20 NOV – Sekurang-kurangnya lapan tapak geologi yang mempunyai nilai warisan ditemui di Labuan, melayakkannya diisytihar sebagai Geopark Kebangsaan.

Penemuan itu didedahkan Jawatankuasa Pemandu Geopark Kebangsaan kepada pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan (LC).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata penemuan lapan tapak geologi itu akan meningkatkan usaha agensi itu membuat perancangan strategik bagi menjalankan pemuliharaan tapak-tapak yang dicadangkan oleh jawatankuasa itu.

Lapan tapak itu terletak di Tanjung Batu; laluan pejalan kaki Muzium Chimney; bekas lombong batu arang Lubok Temiang (1848-1946), tirisan minyak di Bukit  Minyak Gas, Ganggarak; Tanjung Layang-Layangan, Jujukan Batuan Sedimen Laut, Kampung Bebuloh Darat; Volcano di Kampung Layang-Layangan dan Formasi Tanjung Punei Crocker daripada batu pasir di Tanjung Kiamsam.

Lapan tapak tersebut dinilai pada Mei 2018 oleh jawatankuasa itu, yang diketuai Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Kamoo dan mencadangkan Labuan diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan pembinaan papan tanda pada semua lapan tapak itu untuk maklumat saintifik kepada orang awam.

Fary berkata penemuan tapak geologi itu akan meletakkan Labuan bersama Langkawi dan Geopark Kebangsaan yang lain di negara ini. “Tapak geologi memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan Labuan kerana tapak itu berpotensi menarik ramai penyelidik ke Labuan,” katanya. – Bernama

Pemandangan panorama indah di Tanjung Layang-layangan Labuan yang merupakan salah satu tapak geologi yang ditemui dan berpotensi diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan. – Bernama