8 terkorban, 12 hilang banjir di selatan India

NEW DELHI, 17 OKT – Sekurang-kurangnya lapan orang terkorban manakala 12 lagi dikhuatiri hilang selepas hujan lebat landa negeri selatan India, Kerala.

Operasi menyelamat dijalankan hari ini selepas hujan lebat turun di kawasan tersebut sehari sebelumnya, mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh, menurut laporan agensi berita Press Trust of India (PTI).

Pasukan tindak balas bencana kebangsaan dan tentera dikerah untuk membantu pasukan menyelamat di dua daerah paling teruk terjejas, Kottayam dan Idukki, di mana puluhan orang masih dipercayai hilang.

Semalam, ketika hujan lebat mula turun, laporan televisyen menunjukkan orang ramai meredah air tinggi paras dada untuk menyelamatkan penumpang bas yang hampir ditenggelami air akibat banjir.

Pegawai berkata turunan hujan lebat mula berkurangan, namun mereka risau jumlah kematian mungkin meningkat ketika operasi menyelamat dan bantuan diteruskan.

Menteri Dalam Negeri, Amit Shah berkata kerajaan persekutuan memantau situasi di Kerala dan akan memberikan bantuan kepada negeri tersebut. “Mendoakan keselamatan semua orang,” tulisnya di Twitter. – AP

Seorang pegawai tentera udara India meninjau kawasan terjejas banjir di negeri selatan India, Kerala. – AP