8 termasuk ketua kartel dadah mexico mati ditembak

MEXICO CITY, 21 Julai – Ketua kartel dadah dikehendaki di Mexico, Felipe De Jesus Perez Luna bersama tujuh anggota kartelnya maut ditembak dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan pasukan tentera, di sini, semalam.

Sekretariat Tentera dan Tentera Laut Mexico dalam satu kenyataan berkata insiden berlaku apabila anggota kartel tersebut menyerang pegawai polis persekutuan di kawasan kejiranan Tlahuac.

Menurut kenyataan itu, pasukan tentera dipanggil ke lokasi berkenaan dan berlaku kejadian berbalas tembakan sebelum pihak berkuasa mendapati Perez Luna antara yang terbunuh.

Perez Luna, yang juga dikenali sebagai ‘El Ojos’ dipercayai menguasai rangkaian pengedaran dadah di timur Mexico City termasuk di Tlahuac, Milpa Alta, Xochimilco dan Iztapalapa, serta kawasan selatan ibu negeri itu.

Kumpulan itu juga dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan, culik dan pemerasan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, media tempatan melaporkan Perez Luna dikaitkan dengan kira-kira 50 kes pembunuhan, termasuk pembunuhan seorang pegawai kanan pasukan keselamatan, Felipe Carmona pada Februari tahun lepas. – Xinhua