80 kes positif dikesan di tiga mukim

Oleh AK Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Terdapat tiga mukim di negara ini yang mempunyai kes positif melebihi 80 kes dalam masa tujuh hari kebelakangan ini yang terletak di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait.

Dua mukim di Daerah Brunei dan Muara ialah Mukim Gadong ‘A’ dan Mukim Berakas ‘A’ manakala di Daerah Belait ialah Mukim Kuala Belait.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini mengongsikan dapatan itu hasil penelitian dijalankan untuk memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai keberadaan kes-kes yang positif dikesan di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak terlibat sama ada dalam kalangan petugas barisan hadapan, petugas daripada kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkenaan, para pesakit, kontak-kontak terdekat, ahli keluarga pesakit, para sukarelawan dan orang ramai untuk terus berganding bahu memberikan kerjasama dalam usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Alhamdulillah, setakat ini banyak usaha, sokongan dan penglibatan padu daripada segenap lapisan masyarakat, termasuk agensi Kerajaan dan bukan kerajaan dalam melaksanakan segala langkah pengawalan telah dapat dicapai. 

“Dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, sikap hormat menghormati harus wujud untuk membolehkan setiap orang memainkan peranannya,” tambahnya.

Manakala ketika menyentuh mengenai situasi semasa, beliau menekankan mungkin wujud kebimbangan sehingga menyebabkan timbulnya rasa cemas dalam kalangan masyarakat.

“Oleh itu, kita harus menghindari penyebaran maklumat-maklumat yang belum disahkan. Di samping itu, elakkan juga daripada membuat dan menyebarkan sebarang rakaman sama ada video atau audio tanpa kebenaran dari pihak-pihak yang terlibat; hormati privasi kes, keluarga kes dan petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam berhadapan dengan COVID-19. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” tambah beliau.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menerangkan mengenai kes positif di tiga mukim. – Gambar oleh Muiz Matdani