80 peratus kapasiti premis makanan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan melaksanakan pelan de-escalation fasa ketiga bagi perkhidmatan penyajian makanan di premis-premis makanan dan gerai-gerai terbuka di bawah kawalan jabatan-jabatan daerah dan jabatan-jabatan bandaran bermula 6 Julai berpandukan kepada nasihat Kementerian Kesihatan.

Di bawah pelaksanaan fasa ketiga itu, had pelanggan di premis-premis makanan iaitu restoran, kafe dan food court yang dibenarkan untuk dine-in dalam satu-satu masa dinaikkan kepada 80 peratus daripada jumlah kapasiti biasa ruang duduk premis makanan berkenaan.

“Garis panduan penjarakan sosial dan syarat-syarat lain bagi perkhidmatan penyajian makanan di premis-premis makanan seperti yang dimaklumkan semasa sidang media pada 14 Mei 2020 masih dikekalkan,” jelas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu bagi gerai-gerai terbuka yang menyediakan perkhidmatan dine-in di bawah kawalan jabatan-jabatan daerah dan bandaran dibenarkan untuk beroperasi pada kadar 100 peratus jumlah kapasiti biasa ruang duduk gerai berkenaan.

“Garis panduan penjarakan sosial dan syarat-syarat lain bagi gerai-gerai terbuka seperti yang dimaklumkan semasa sidang media pada 14 Mei 2020 masih dikekalkan.”

Yang Berhomat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengumumkan langkah-langkah pelaksanaan pelan de-escalation semasa sesi sidang media tersebut.

Yang Berhormat Pehin menyatakan lagi, “Pelan de-escalation ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan akan situasi wabak COVID-19 di negara ini dan juga di peringkat serantau dan global. Orang ramai akan dimaklumkan mengenai pelaksanaan pelan de-escalation ini selanjutnya dari semasa ke semasa.”

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan pemilik-pemilik atau pengusaha premis makanan dan gerai-gerai terbuka serta penjaja tamu mingguan yang didapati tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Beliau juga memohon supaya mereka memberikan kerjasama untuk mematuhi arahan-arahan dan nasihat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.