80 selebriti Bollywood bantu rakyat terjejas

Konsert I For India menghimpun lebih 80 bintang dan pemuzik Bollywood yang beraksi dari rumah bagi mengumpulkan dana Tabung Respons India COVID-19 (ICRF), Ahad lalu.

Seperti Konsert The One World: Together At Home yang dikendalikan penyanyi sensasi, Lady Gaga pada awal bulan lalu, konsert secara penstriman langsung itu disiarkan menerusi laman Facebook selama lima jam.

Bintang tersohor, Shah Rukh Khan, Amitabh Bachchan, Priyanka Chopra, Aamir Khan, Aishwarya Rai, Hrithik Roshan, Kareena Kapoor, Madhuri Dixit tidak ketinggalan menunjukkan sikap keprihatinan terhadap nasib rakyat India. Bintang antarabangsa seperti Mick Jagger, Nick Jonas, Bryan Adams, Will Smith, Joe Jonas dan Mindy Kaling turut menyertai konsert itu.

Menurut laporan Newsweek, konsert berkenaan adalah cetusan idea dua pengarah terkenal, Karan Johar dan Zoya Akhtar yang bekerjasama dengan badan kebajikan, Give India bagi membantu negara yang mempunyai populasi 1.3 bilion penduduk itu.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya meraih 37.5 juta rupees (RM2.15 juta). Jumlah yang disasarkan sebanyak 60 juta rupees (RM3.44 juta).

Shah Rukh Khan juga turut menyertai konsert tersebut. – Agensi

Hasil sumbangan akan digunakan untuk menyediakan pakaian perlindungan diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan, makanan dan bantuan wang tunai kepada masyarakat yang terputus punca pendapatan akibat perintah berkurung yang dilaksanakan di India.

Laporan pusat rujukan Johns Hopkins mendedahkan, India mencatatkan jumlah jangkitan COVID-19 yang naik secara mendadak dengan 2,600 positif pada Sabtu lalu. Jumlah keseluruhan kes positif yang dilaporkan mencecah 40,000 dengan 1,300 kematian.

Vokalis kumpulan The Rolling Stones, Mick Jagger dan pelakon I Am Legend, Will Smith berkongsi kesedihan rakyat yang kehilangan pekerjaan hingga menanggung kelaparan, sejak perintah berkurung dilaksanakan pada 25 Mac lalu. Difahamkan, kerajaan India menambah tempoh berkurung kepada dua minggu lagi.

“Mereka mungkin kehilangan pekerjaan dan tempat tinggal. Mereka mempunyai keluarga yang kelaparan. Jadi, saya mohon kepada anda menghulurkan derma. Berilah berapa sahaja yang termampu,” rayu Mick Jagger.

Will Smith dalam video pendeknya meminta sumbangan orang ramai membantu mereka yang terjejas.

“India sentiasa menjadi tempat yang hangat dan istimewa dalam hati saya. Ini benar-benar seperti rumah yang jauh dari rumah saya,” katanya.

Akshay Kumar membuka tirai konsert dengan menyampaikan puisi yang ditulis oleh penulis lirik, Manoj Muntashir berjudul Tumse Ho Nahi Payega. – Agensi