80 warga pertahanan menderma darah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Seramai 80 orang kakitangan dan anggota dari Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menderma darah semasa kempen derma darah yang dikendalikan bermula 23 Ogos lalu hingga hari ini.

Kempen yang diadakan di Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan dan ABDB dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS dan merupakan usaha bagi membantu usaha pihak Kementerian Kesihatan dalam memastikan ketersediaan bekalan darah di Negara Brunei Darussalam.

Kempen juga bertujuan untuk memperkukuhkan lagi sikap saling bantu-membantu dan tanggungjawab sosial di Kementerian Pertahanan dan ABDB dengan membantu individu yang memerlukan serta mendukung pihak kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam dalam menangani wabak COVID-19. 

Antara warga ABDB yang menderma darah semasa kempen itu. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan