Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Seramai 81 pegawai dan kakitangan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah mengikuti Kursus Marsyal Bomba yang dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi ‘A’ Jabatan Bomba dan Penyelamat, di Balai Bomba Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Semasa kursus, para peserta didedahkan tentang pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal selain menjalankan latihan praktikal kebakaran.
Peserta juga diajar langkah-langkah mengenai sebab dan punca berlakunya kebakaran dan tindakan yang perlu diambil apabila berdepan insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara bersistematik.
Selain itu, peserta kursus juga didedahkan tatacara penggunaan alat-alat pemadam api dan selimut api yang betul, tatacara menyelamatkan diri daripada terperangkap di dalam bangunan apabila berlakunya kebakaran serta mengenali perkakas dan peralatan kebombaan di Balai Bomba Bandar Seri Begawan dan Unit Operasi Wanita.
