82.7% penduduk terima satu dos vaksin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Seramai 2,510 orang di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kelmarin (7 November).

Dengan jumlah tersebut, kini di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan, seramai 355,752 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 82.7 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan statistik tersebut semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Manakala, 287,479 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 66.9 peratus daripada jumlah penduduk negara,” tambah Yang Berhormat Dato.

Sehubungan itu, kini cuma 3.1 peratus daripada jumlah penduduk negara yang diperlukan untuk melengkapkan dos kedua vaksin COVID-19 bagi mencapai 70 peratus sebelum negara beralih daripada Fasa Persiapan ke Fasa Peralihan.

“Di kalangan penduduk berumur 60 tahun ke atas pula, seramai 42,691 orang iaitu 98.6 peratus telah menerima satu dos vaksin COVID-19 dan seramai 39,483 orang iaitu 91.2 peratus telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19,” jelas beliau.

Negara Brunei Darussalam mencatatkan sebanyak 643,231 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 412,354 jumlah pemberian, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 85,625 jumlah pemberian.

Manakala Daerah Tutong mencatatkan sebanyak 73,889 jumlah pemberian, dan Daerah Temburong sebanyak 85,625 jumlah pemberian.