82 kes baharu, dua lagi kluster

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 82 kes baharu jangkitan COVID-19, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 13,864 orang.

Terdapat 48 tambahan kes baharu kepada 19 kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar turut memaklumkan bahawa terdapat dua kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 13 kes.

“Kesemua kluster-kluster baharu ini merupakan kluster kediaman di mana satu daripadanya iaitu Kluster Adinin Works and Engineering, Jalan Sg Pandan Staff House adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelas beliau semasa sidang media harian yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Manakala, tambah beliau, tujuh kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan dalam kluster berkenaan selama 28 hari, iaitu Kluster 1640, Kluster 5671, Kluster 6347, Kluster 6419, Kluster 6425, Kluster 6427 dan Kluster 7641, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 177 kluster.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. Turut hadir Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin – Gambar oleh Muiz Matdani

Dalam pada itu, terdapat 21 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Sebanyak 297 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 12,900 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 870 kes,” kongsi beliau lagi.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, beliau menjelaskan bahawa tujuh kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif, dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, enam kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambahnya.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 1,871 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 535,302 ujian.