82 kesalahan tembakau dicatat januari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Bagi Bulan Januari ini sejumlah 82 kesalahan telah dicatatkan di bawah Perintah Tembakau 2005.

Menurut kenyataan yang diterima hari ini, kesalahan-kesalahan itu termasuk 80 kesalahan di bawah Bab 14(2) iaitu merokok di tempat yang ditegah, satu kesalahan di bawah Bab 10(1) iaitu merokok di kalangan remaja di bawah umur 18 tahun dan satu kesalahan di bawah Bab 12(3) iaitu kesalahan menjual produk tembakau tanpa mempunyai lesen tembakau.

Kesemua mereka iaitu 70 daripadanya adalah lelaki dan 12 orang wanita telah dikenakan tindakan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perintah Tembakau 2005.

Dalam pada itu, Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan bersama dengan Unit Operasi, Bahagian Komersial dan Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah melaksanakan ‘Ops Pajah 1/2020’ pada 27 Januari 2020 dalam usaha berterusan membanteras kegiatan merokok di kawasan bangunan kerajaan dan perniagaan Bandar Seri Begawan.

Hasil daripada operasi itu, Unit Penguatkuasaan Kesihatan telah mencatatkan sebanyak lima kesalahan (daripada 82 kesalahan di sepanjang bulan Januari).

Empat daripadanya adalah kesalahan merokok/vaping di tempat-tempat yang ditegah, satu kesalahan menjual produk tembakau tanpa lesen tembakau dan kesemua pesalah telah dikenakan denda kompaun.

Manakala Unit Operasi, Bahagian Komersial dan Penguatkuasaan Undang-undang, JKED pula telah mencatatkan sebanyak tujuh tangkapan di bawah Perintah Eksais 146(1) (d) semasa ‘Ops Pajah 1/2020’ dilakukan.

Jika sabit kesalahan di mahkamah, denda minima sebanyak $5,000 akan dikenakan ke atas pesalah yang membawa rokok seludup atau pesalah gagal memberikan bukti pembayaran cukai rokok dalam milikannya.

Perintah Tembakau 2005 dan peraturan-peraturannya memperuntukkan larangan merokok di tempat-tempat awam.

Larangan ini adalah bertujuan untuk mengawal tabiat merokok serta bagi melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok.

Dalam usaha meningkatkan keberkesanan tindakan di bawah perintah tersebut, tindakan tegas terhadap mereka yang didapati merokok di tempat-tempat yang ditegah akan diambil oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan mengenakan denda kompaun sebanyak $300 bagi kesalahan pertama.

Sementara itu, denda kompaun sebanyak $500 pula akan dikenakan kepada sesiapa yang didapati melakukan kesalahan kali kedua dan seterusnya.

Kementerian Kesihatan sangat mengalu-alukan aduan daripada orang ramai dalam usaha membanteras kesalahan yang dilakukan di bawah Perintah Tembakau 2005. Orang ramai boleh menghubungi Unit Penguatkuasaan Kesihatan melalui talian hotline 7192005 atau emel kepada [email protected]