821kg barang rampasan dilupuskan

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

TEMBURONG, 13 MEI – Lebih 821 kilogram barang rampasan telah dilupuskan oleh Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah di Tapak Pelupusan Rabada Mukim Labu Daerah Temburong, baru-baru ini.

Kesemua barang rampasan yang dimusnahkan terdiri daripada sayap ayam, tongkeng ayam, sosej ayam, daging kambing, nuget ayam, drumet dan kepak tengah ayam bersalut yang dilaksanakan berpandukan Aturan 25 daripada Aturan-aturan Daging Halal 1999 mengenai prosedur pelupusan yang pada lazimnya dilakukan setelah selesai bayaran denda kompaun atau prosiding mahkamah. Proses pelupusan barang rampasan disaksikan oleh lapan orang pegawai penguat kuasa daripada Bahagian Kawalan Makanan Halal dan empat pegawai penguat kuasa dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).

Daging-daging yang dilupuskan adalah hasil rampasan bagi kes penyeludupan yang berlaku awal tahun ini  iaitu bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Daging Halal, Penggal 183 dan Perintah Kastam, 2006.

Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah bersama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa meningkatkan kekerapan rondaan dan operasi bagi memastikan undang-undang serta peraturan-peraturan di negara ini sentiasa dipatuhi.

Sehubungan itu, Bahagian Kawalan Makanan Halal menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan penyeludupan daging mentah melalui talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat bahagian berkenaan di setiap daerah.

Petugas memasukkan daging rampasan ke dalam lubang pemusnahan di Tapak Pelupusan Rabada Mukim Labu.