Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    83 maut banjir di Sudan

    KAHERAH, 23 OGOS – Angka kematian akibat banjir kilat di Sudan sejak permulaan musim hujan di negara itu meningkat kepada 83 orang, lapor seorang pegawai setempat pada awal Isnin ketika hujan lebat terus membanjiri seluruh kampung di Afrika timur.

    Jurucakap Majlis Kebangsaan bagi Pertahanan Awam Sudan, Brigadier Jeneral Abdul-Jalil Abdul-Rahim berkata sekurang-kurangnya 36 orang telah cedera sejak Mei lalu. Lebih daripada 18,200 buah rumah telah musnah sepenuhnya di seluruh negara manakala kira-kira 25,600 buah rumah telah rosak sebahagiannya.

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 146,200 orang telah terjejas akibat banjir tersebut. Rakaman yang disiarkan oleh media tempatan menunjukkan air semakin meningkat telah menenggelamkan perkampungan.

    Pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di enam daripada 18 wilayah di negara itu. Wilayah Darfur barat dan wilayah Sungai Nil, White Nile, Kordofan Barat dan Kordofan Selatan adalah antara yang paling teruk terjejas, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, atau OCHA.

    Dalam pada itu, agensi PBB mengalami kekurangan dana yang ketara. OCHA berkata penderma menyediakan kira-kira $608 juta untuk bantuan kemanusiaan Sudan setakat tahun ini iaitu kurang daripada satu pertiga daripada apa yang diperlukan untuk tahun ini.

    Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak rampasan kuasa tentera Oktober tahun lalu yang menggagalkan peralihan demokrasinya yang singkat berikutan penyingkiran autokrat, Omar al-Bashir pada 2019 dalam kebangkitan rakyat.

    Musim tengkujuh di Sudan biasanya bermula pada bulan Jun dan berlangsung sehingga akhir September, dengan banjir memuncak pada bulan Ogos dan September. Lebih 80 orang terbunuh tahun lalu dalam kejadian berkaitan banjir. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...