84% guru sudah lengkap vaksinasi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Sebanyak 97 peratus guru sekolah di seluruh negara telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin manakala bagi guru-guru yang telah mendapatkan dua dos suntikan vaksin adalah sebanyak 84 peratus.

Perangkaan itu didedahkan oleh Menteri Pendidikan,Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman semasa sidang media, hari ini. Beliau menyatakan penghargaan kepada guru-guru yang telah tampil ke hadapan untuk mendapatkan vaksin tersebut serta menyeru guru-guru yang masih belum mendapatkan vaksin supaya dapat memberikan kerjasama untuk mendapatkan vaksin supaya dapat sama-sama melindungi semua terutama anak didik mereka.

Sementara itu, menjawab persoalan bagaimana mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun yang tidak bersekolah untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 mereka, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan golongan yang berusia 12 hingga 17 tahun yang tidak lagi bersekolah akan menerima vaksin setelah dua minggu vaksin diberikan kepada para pelajar yang bersekolah kerana pelajar berkenaan akan memulakan persekolahan mereka nanti.

Beliau menambah bahawa selepas tempoh dua minggu itu, kanak-kanak yang tidak bersekolah lagi akan dibenarkan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 mereka secara walk-in.