84 kereta diperiksa dalam operasi sepadu Stop & Search

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BELAIT, 25 JUN – Pelbagai kesalahan telah dikesan dalam beberapa operasi sepadu jalan raya yang dijalankan secara serentak oleh lima buah balai polis Daerah Polis Belait di kawasan tadahan masing-masing semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, semasa operasi yang turut melibatkan anggota Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) itu, sebanyak 84 buah kereta telah diperiksa secara Stop & Search di mana peringatan polis telah dikeluarkan bagi 10 kesalahan.

Turut didapati ialah sembilan pemandu tidak membawa lesen memandu dan 42 kesalahan kompaun.

Manakala itu, BKN mencatatkan satu kes penyalahgunaan dadah penggal 27 dan satu kesalahan di bawah Akta Kastam dan Eksais iaitu membawa masuk barang tegahan.

Operasi yang dijalankan selama dua jam lebih tersebut telah melibatkan seramai 117 orang anggota dan diketuai oleh Pegawai Siasatan Lalu Lintas, Daerah Polis Belait DSP Alvin Goh dengan menyasarkan para pemandu yang tidak mengikuti peraturan lalu lintas mahupun melanggar kesalahan-kesalahan yang melibatkan jenayah dan juga dadah terkawal.

PPDB dalam kenyataan berkenaan, mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati ketika memandu kerana jalan raya turut dikongsi oleh pengguna-pengguan yang lain termasuk kenderaan bermotor, penunggang basikal dan pejalan kaki.

Justeru, peraturan yang diperuntukkan oleh kerajaan hendaklah dipatuhi dan diikuti dengan sebaiknya demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan bersama bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Operasi sepadu jalan raya yang dijalankan secara serentak oleh lima buah balai polis Daerah Polis Belait semalam.