84 pelajar Pra-Vokasional dirai

Oleh Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Seramai 84 orang pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian Program Pra-Vokasional bagi sesi 2015-2019 telah diraikan pada majlis penyampaian sijil yang dianjurkan oleh Unit Pendidikan Khas (UPK), Kementerian Pendidikan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Mahligai, Airport Mall itu ialah Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee yang juga menyampaikan sijil kepada para pelajar yang diraikan.

Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Dr Mona Aliana binti Dato Paduka Haji Alimin dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan bahawa sepanjang lima tahun pengajian program pra-vokasional tersebut, para pelajar telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menjurus kepada kemahiran hidup berdikari, vokasional dan kemahiran kerja.

“Antara aktiviti pembelajaran yang autentik adalah mengikuti latihan kemahiran kerja di agensi-agensi kerajaan dan swasta di mana penempatan adalah mengikut kebolehan dan minat pelajar itu sendiri.

“Pengalaman ini telah sedikit sebanyak mendedahkan mereka kepada alam pekerjaan sebenar dan mereka telah mendalami dan memahami kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh pihak industri.

“Oleh itu, pelajar-pelajar haruslah meneruskan usaha untuk mempertingkatkan lagi kemahiran-kemahiran melalui peluang-peluang pekerjaan, perniagaan, mahupun kursus-kursus yang lain. Ini penting dalam sama-sama mendokong hasrat negara yang mengkehendaki rakyatnya berilmu, berkemahiran dan bertamadun sepertimana Wawasan Brunei 2035,” jelas Dr Mona Aliana lagi.

Pada majlis itu, sembilan orang guru pendidikan khas iaitu lima orang guru HRT dan empat guru SENA yang bersara dari beberapa buah sekolah rendah dan menengah turut diraikan.

Selain itu, kementerian pendidikan melalui UPK juga meraikan sebanyak 23 buah syarikat terdiri daripada agensi kerajaan, pihak syarikat swasta dan persendirian.

Pada masa yang sama, pelajar-pelajar Program Pra-Vokasional dari 28 buah sekolah menengah turut mempamerkan dan menjual pelbagai barangan seperti kraf tangan, makanan, minuman serta hasil-hasil tanaman di Ruang Legar Atrium, Aras Bawah Airport Mall.

Hajah Anis Faudzulani menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar yang diraikan.
Hajah Anis Faudzulani bergambar ramai bersama para pelajar yang diraikan di Dewan Mahligai, Airport Mall, kelmarin.