Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    84 pelajar terima anugerah hadiah, pingat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Pandemik COVID yang dihadapi sejak dua tahun kebelakangan ini, telah mempengaruhi kehidupan seharian dan juga kepada operasi sesebuah organisasi.

    Walau bagaimanapun, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mula melaksanakan struktur pembelajaran gabungan dari Ogos 2020 dan struktur pembelajaran itu, masih diguna pakai sehingga sekarang.

    “Cara pembelajaran ini yang menggabungkan kaedah pengajaran secara atas talian dan secara bersemuka memberi peluang kepada semua tenaga akademik dan pelajar untuk merangkul penggunaan teknologi, bukan sahaja dalam pengajian mahupun untuk kehidupan harian,” menurut yang dinyatakan oleh Pemangku Naib Canselor UBD, Pengiran Dr Mohd Iskandar bin Pengiran Haji Petra dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Penyampaian Anugerah Hadiah Buku dan Pingat Universiti bersempena Majlis Konvokesyen UBD ke-33 yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan penyampaian anugerah hadiah dan pingat kepada para penerima ialah Menteri Pendidikan dan Pengerusi Majlis UBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi Majlis UBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Daud, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan, kakitangan serta penaja acara berkenaan.

    Menteri Pendidikan dan Pengerusi Majlis UBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman menyempurnakan penyampaian anugerah hadiah dan pingat kepada para penerima pada Majlis Penyampaian Anugerah Hadiah Buku dan Pingat Universiti bersempena Majlis Konvokesyen UBD Ke-33 yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menyempurnakan penyampaian hadiah buku dan pingat universiti kepada para penerima di Majlis Penyampaian Anugerah Hadiah Buku dan Pingat Universiti sempena Majlis Konvokesyen UBD Ke-33 yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti yang menghadiri majlis penyampaian hadiah buku dan pingat universiti yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD.

    Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Pengiran Dr Mohd Iskandar berkata bahawa UBD juga telah berjaya mengekalkan dan mengukuhkan elemen pembelajaran sepanjang hayat dalam semua program di UBD.

    Pada majlis itu, beliau juga melahirkan harapan supaya para penerima hadiah buku dan pingat akan terus berusaha bagi meningkatkan lagi pengetahuan serta menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi dan menyemai sikap pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan mereka akan mampu berdaya siang semasa di dalam alam pekerjaan.

    “Selain dari itu, saya berharap agar para graduan akan meneruskan afiliasi dengan UBD dan sentiasa aktif sebagai alumni serta akan sentiasa bekerja rapat dan menyumbang kepada perkembangan UBD.”

    Di majlis berkenaan sebanyak 91 pi-ngat, hadiah buku dan anugerah kecemerlangan telah disampaikan kepada seramai 84 orang pelajar di mana enam daripada mereka merupakan penerima Anugerah Pingat Perak Universiti. Penerima-penerima pingat perak berkenaan ialah Awangku Ahmad Zawawi bin Pengiran Haji Asmali, Dayang Nur Amalina binti Aliudin, Awang Muhd Nur Azri @ Muhd Adli Azri bin Haji Mahari, Awang Muhd Meerza Helmi Uzapuspa, Chong Cuang Haw dan Jason Lee Zse Jin.

    Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan ( Kimia dan Proses Kejuruteraan), Jason Lee Zse Jin telah menerima tiga anugerah termasuk hadiah buku Tahap 4000 dan 5000 (majors) serta hadiah tajaan daripada Brunei LNG Sdn Bhd. Di antara penerima-penerima bagi Hadiah Buku Universiti ialah 13 pelajar daripada Program Ijazah Sarjana dan 67 pelajar daripada Program Ijazah Sarjana Muda yang menerima hadiah bagi pencapaian cemerlang mereka.

    Daripada 67 orang Ijazah Sarjana Muda yang menerima Hadiah Buku, 24 orang adalah penerima bagi Tahap 4000 dan 5000 (majors), 26 orang bagi Tahap 2000 dan 3000 (majors) serta 16 bagi Tahap 1000 (majors).

    Seorang pelajar telah menerima Hadiah Buku bagi pencapaian cemerlang dalam modul Melayu Islam Beraja iaitu Dayang Amirah binti Haji Ghazali daripada Program Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan (Perubatan).

    Pada majlis itu juga, dua orang pelajar diploma yang menunjukkan pencapaian cemerlang iaitu Ampuan Yusliza bin Ampuan Mumali @ Yusof dan Mejar Ho Jin Peng telah menerima Anugerah Pencapaian semasa majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...