Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Seramai 53 peserta qari dan 31 peserta qariah bakal memperdengarkan bacaan masing-masing dalam Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 2022 Peringkat Saringan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang akan diadakan selama tiga hari iaitu pada 11, 12 dan 14 Mei.
Acara akan dilangsungkan di Dewan Silaturahim, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, bermula pada pukul 8:15 pagi hingga 5 petang.
Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan merupakan salah satu projek tahunan KKBS yang dikelolakan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) sejak tahun 1980an dan telah berjaya melahirkan ramai qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
Ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau tarannum.
Sehubungan itu, orang ramai terutamanya para belia boleh menyaksikan musabaqah tersebut secara langsung melalui akaun rasmi Instagram dan Facebook JBS.