849 hadiri taklimat skim baharu SPK

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Seramai 849 pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Kementerian Pembangunan telah menghadiri sesi taklimat mengenai Skim Persaraan Kebangsaan (SPK), kelmarin.

Sesi taklimat anjuran Tabung Amanah Pekerja (TAP) itu antara lain menerangkan mengenai objektif penubuhan SPK yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi kesejahteraan sosial para ahli TAP semasa bersara dengan mengambil kira pelbagai faktor dan cabaran-cabaran yang dihadapi.

Ini seperti penggunaan kaedah kadar penggantian pendapatan (IRR) untuk memberikan pendapatan persaraan yang lebih baik kepada setiap golongan terutama yang berpendapatan rendah, pembayaran anuiti atau bulanan dipanjangkan sehingga sepanjang hayat bagi menangani kadar umur yang kian meningkat.

Selain berkaitan jenis pengeluaran SPK yang lebih fleksibel dan membolehkan pengeluaran bagi kegunaan ahli sebelum bersara, kebajikan tanggungan menerusi perlindungan bagi tanggungan lebih diperluaskan bukan saja sebelum bersara tetapi juga sehingga selepas bersara.

Skim baharu SPK juga adalah lebih inklusif, di mana ia bukan saja terhad kepada pekerja-pekerja di sektor formal, tetapi ia juga dibukakan kepada ahli-ahli yang bekerja di sektor tidak formal atau mereka yang bekerja sendiri untuk mempunyai simpanan persaraan.

Sesi tersebut dimulakan dengan penerangan daripada pengarah urusan TAP diikuti oleh pemangku timbalan pengarah urusan TAP.

Selain daripada sesi taklimat, peserta juga diberikan peluang untuk memberikan maklum balas mengenai SPK semasa sesi aktiviti untuk meningkatkan lagi kefahaman peserta mengenainya.

Pemberigaan berkenaan akan diteruskan sepanjang Jun dan diadakan secara berperingkat sepertimana yang dijadualkan ke kementerian-kementerian, sektor swasta, sektor informal dan juga majikan-majikan.

Antara pegawai dan kakitangan kerajaan yang menghadiri taklimat skim baharu SPK. – Gambar serahan TAP