85.1% sudah terima satu dos vaksin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Seramai 5,321 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di seluruh Negara Brunei Darussalam, kelmarin (9 November), termasuk 4,655 daripada golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun.

Dengan jumlah tersebut, seramai 366,008 orang iaitu 85.1 peratus daripada jumlah penduduk negara telah menerima satu dos vaksin COVID-19 di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan.

“Manakala, 288,479 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 67.1 peratus daripada jumlah penduduk negara,” Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar memaklumkan pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam kini mencatatkan sebanyak 654,487 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 419,518 jumlah pemberian, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 86,866, Daerah Tutong sebanyak 75,340 dan Daerah Temburong sebanyak 72,763.