85 peratus tenaga pengajar lengkap dos pertama

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Program imunisasi memang telah diadakan di sekolah-sekolah sebelum ini, oleh itu Kementerian Pendidikan adalah sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menjalankan program imunisasi di sekolah-sekolah.

Program imunisasi diharapkan dapat diusahakan bersama dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) tertentu. Pada masa ini memang ada perbincangan dengan Kementerian Kesihatan mengenai bagaimana Kementerian Pendidikan dapat menolong dan membantu untuk sama-sama menjaga kesejahteraan serta kesihatan rakyat di negara ini terutama sekali bagi para pelajar.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman menyatakan perkara tersebut pada Sidang Media bagi Status Terkini COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menyentuh mengenai pembukaan kembali persekolahan, Yang berhormat Menteri Pendidikan menjelaskan bahawa perkara tersebut adalah tertakluk kepada perbincangan yang mana akan mengikuti segala nasihat perubatan agar kesejahteraan warga sekolah dapat terjaga apabila persekolahan dibuka kembali nanti.

Setakat ini, kira-kira 85 peratus tenaga pengajar dan guru-guru yang telah mendapatkan satu dos suntikan vaksin COVID-19 manakala sebanyak 56 hingga 58 peratus guru telah melengkapkan suntikan dua dos vaksin COVID-19 mereka.

Walau bagaimanapun pihak Kementerian Pendidikan berusaha dan secara berterusan menggalakkan para guru dan tenaga pengajar untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi memastikan kesihatan dan keselamatan mereka terjamin dalam menjalankan tugas mereka sebagai seorang pendidik.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah ketika berucap pada sidang media, kelmarin.