852 butir peluru lama ditemui

LABUAN, 28 FEB – Sekumpulan nelayan tempatan menemui sebuah kotak kayu berisi 852 butir peluru lama jenis Caliber .303 ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di pesisir Pantai Sungai Miri semalam.

Kotak yang disaluti simen itu terdampar di kawasan pantai berkenaan dan ditemui oleh nelayan berkenaan kira-kira jam 7 pagi.

Atas rasa ingin tahu, mereka membuka kotak itu dan terkejut apabila mendapati peluru bertaburan di dalamnya lantas membuat laporan penemuan itu di balai polis.

Ketua Polis Labuan, Supt Muhamad Farid Ahmad, yang mengesahkan penemuan itu, berkata peluru hidup dengan kod 1942 MG Vll itu telah diletakkan di dalam kotak bersaiz 30 sentimeter (sm) panjang, lebar 15.24 sm dan tinggi 20sm. – Bernama