861 paket pelbagai jenis makanan disita di Tawau

TAWAU, 15 Jan – Unit Kesihatan Persekitaran di Jabatan Kesihatan Tawau hari ini menyita 861 paket pelbagai jenis barang makanan dianggarkan bernilai RM16,000 menerusi Op Patuh yang dijalankan sempena menjelang perayaan Tahun Baharu Cina di daerah ini.

Pegawainya, Rahman Sampe berkata operasi itu bertujuan mengesan penjualan makanan tamat tempoh, label yang salah, makanan rosak yang masih dipamer untuk jualan, makanan dalam tin yang rosak serta makanan tidak mempunyai label bahasa Melayu atau Inggeris.

“Barang makanan yang dirampas itu didapati melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan antaranya makanan tamat tempoh, tiada label tamat tempoh dan tiada nama pengimport. Beberapa kes akan disiasat lanjut dan bakal dihadapkan ke mahkamah sekiranya terdapat bukti kukuh berkaitan kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rahman berkata kuasa sita dan tahan itu dilakukan di bawah Seksyen 4(1)(f) dan (g) Akta Makanan 1983 manakala kesalahan lain di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Menurutnya, seramai 35 anggota menyertai operasi itu dan memeriksa sebanyak 25 premis penjualan barang runcit termasuk pasar raya besar dan kecil serta kedai runcit. – Bernama