87 Pelajar terima hadiah enikki mitsubishi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Seramai 87 orang pelajar dari 87 buah sekolah rendah di Negara Brunei Darussalam telah menerima hadiah Penyertaan Terbaik bagi Pertandingan Mitsubishi Asian Children’s Enikki Fiesta 2019-2020, pada majlis yang berlangsung di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pelajar pada Majlis Anugerah Mitsubishi Asian Children’s Enikki Fiesta 2019-2020 untuk Peringkat Kebangsaan itu ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Norilham bin Haji Jais.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Pertandingan Mitsubsihi Asian Children’s Enikki Fiesta dianjurkan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Mitsubishi, Persekutuan Kelab-kelab dan Persatuan UNESCO Asia Pasifik (AFUCA) dan Persekutuan Persatuan Kebangsaan Persatuan-persatuan UNESCO di Jepun dengan disertai oleh 24 buah negara di rantau Asia dengan membawa tema Here is My Life. Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan selaku penganjur tempatan telah menerima sebanyak 87 penyertaan sekolah rendah termasuk sekolah swasta dan sekolah rendah di bawah Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Pada majlis penyampaian hadiah berkenaan, lapan orang pelajar telah terpilih sebagai penerima Anugerah Lapan Penyertaan Terbaik.

Pegawai Pelajaran Kanan dan Ketua Unit Akli, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Hajah Hajidah binti Haji Abdul Wahab dalam ucapannya selaku pengerusi majlis berkata, hasil karya lapan pelajar berkenaan akan dihantar ke Jepun untuk diperiksa semula oleh Jawatankuasa Saringan Antarabangsa bagi Anugerah Grand Prix, Anugerah Penganjur dan Anugerah Kecemerlangan.

Beliau turut mengongsikan bahawa penyertaan sekolah telah meningkat sebanyak 19.5 peratus berbanding musim lepas. Sebanyak 87 buah sekolah mengambil bahagian dalam acara berkenaan dengan 1,565 penyertaan.

Antara tujuan pertandingan adalah untuk memberi peluang kepada kanak-kanak di seluruh dunia memahami cara kehidupan seharian penduduk Asia.

Awang Mohammad Norilham menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar.