Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Seramai 87 orang penuntut Tahun 7 dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong telah menghadiri Program Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang diadakan di sekolah berkenaan, hari ini.
Hadir semasa program anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan itu ialah Timbalan Pengetua Pentadbiran, Haji Masri bin Haji Mohd Daud dan tenaga pengajar.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Jabatan Penerangan, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris yang antaranya menyentuh mengenai raja, tatacara menaikkan dan mengibarkan bendera negara dengan sempurna dan bersih, tidak koyak dan pudar warnanya serta sejarah lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’.
Para penuntut juga berpeluang menyaksikan klip video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara’.
Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara. Ia juga dihasratkan dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.
Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab kuiz kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan.