9.77% populasi dewasa di Labuan terima dos penggalak

LABUAN, 19 NOV – Seramai 6,695 populasi dewasa di sini telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19 setakat Rabu lepas, kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imuninasi COVID-19 Labuan Rithuan Ismail.

Beliau berkata jumlah itu mewakili 9.77 peratus daripada 68,500 orang dewasa yang disenaraikan layak untuk program imunisasi itu di Labuan.

“Kita optimis angka itu akan meningkat secara konsisten dalam beberapa hari lagi, susulan peningkatan kesedaran mengenai kepentingan vaksin penggalak,” katanya kepada Bernama hari ini.

Rithuan berkata Labuan memulakan suntikan vaksin penggalak itu pada 18 Okt lepas, didahului petugas kesihatan dan diikuti petugas barisan hadapan bukan kesihatan termasuk warga media pada 22 Okt. 

“Kita telah memberi keutamaan kepada warga emas dan orang tua yang mempunyai isu morbiditi dan secara beransur-ansur kepada penduduk biasa berusia 18 tahun dan ke atas… dan kita dapat lihat orang ramai beratur menunggu giliran mereka di Klinik Kesihatan Membedai setiap hari, kecuali Ahad, untuk menerima suntikan itu,” katanya. – Bernama