Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    9 buku terbitan baharu Pusat Sejarah Brunei dilancar

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Sembilan buah buku terbitan baharu Pusat Sejarah Brunei (PSB) telah dilancarkan pada majlis pelancaran yang diselajurkan dengan penyampaian hadiah Peraduan Menulis dan Melukis Cerita Bergambar Sejarah Brunei 2021 yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, PSB, kelmarin.

    Buku-buku berkenaan adalah hasil karya lapan orang pemenang peraduan berkenaan yang merupakan salah satu usaha PSB melalui Bahagian Penerbitan dan Pemasaran.

    Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Buku-buku baharu berkenaan termasuk Legenda Adin dan Telaga Penawar oleh Awang Mohammad Faiz bin Haji Morshidi; Legenda Naga Bukit Tempayan Pisang oleh Dayang Siti Nur Hamizah binti Haji Hamzah dan Sultan Bolkiah oleh Haji Shahwardy bin Haji Hamdan.

    Turut dilancarkan adalah buku Ong Sum Ping oleh Awang Zulfikar Ali bin Haji Sion; Tambah Besar dan Tambah Damit oleh Awang Mohamad Fadhli bin Norzelan, Ikan Sumpit-Sumpit dan Awang Semaun oleh Awang Suhaili bin Haji Mohd Yusof, Sejarah Masjid Kampung Telisai oleh Dayang Adibah binti Abdul Kadir, Sejarah Pulau Labi-Labi oleh Awang Suhaili bin Haji Mohd Yusof dan Kisah Pohon Balik Angin oleh Dayang Siti Radiah binti Haji Ahim.

    Peraduan berkenaan bertujuan sebagai saluran dan media untuk menggalakkan penulis dan pelukis tempatan melibatkan diri dalam menghasilkan karya buku sejarah Brunei berbentuk cerita bergambar yang berkualiti dan diminati semua golongan masyarakat.

    Gabungan teks dan ilustrasi yang menarik akan dapat memberikan gambaran mengenai sesuatu peristiwa penting yang telah berlaku dalam sejarah Brunei.

    Ia telah dibukakan kepada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam bermula Jun 2021 dan berakhir pada 30 November 2021 dan melalui peraduan ini, PSB telah menerima sebanyak 20 buah karya daripada 16 orang peserta. Karya-karya peraduan tersebut telah dinilai oleh tiga orang hakim yang mempunyai profesionalisme dan kepakaran dalam bidang sejarah, penulisan dan melukis iaitu Haji Rosli @ Haji Ismail bin Haji Ampal; Hajah Fatimah binti Haji Talip dan Awang Mohammad Denny Azriman bin Haji Madni.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan buku cerita bergambar sejarah Brunei terbitan baharu itu boleh berkunjung ke Kedai Buku PSB, Bandar Seri Begawan pada waktu bekerja.

    Pengiran Haji Mohd Hasnan menyerahkan hadiah kepada salah seorang pemenang pada majlis tersebut. – Gambar serahan Pusat Sejarah Brunei
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...