TEHRAN, 23 MEI – Sekurang-kurangnya sembilan orang cedera selepas sebuah kilang menghasilkan bahan letupan meletup di Isfahan, Iran, lapor agensi berita ISNA.
Ketua badan pengurusan krisis wilayah berkenaan, Mansour Shisheforoush, berkata kejadian di Sepahan Nargostar Chemical Industries itu dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi waktu tempatan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan, sembilan pekerja kilang yang cedera dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Pasukan penyiasat kini berada di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca letupan,” katanya.
Kilang terbabit berada kira-kira 45 kilometer dari bandar Isfahan dan menurut laman sesawang syarikat berkenaan, kilang ditubuhkan pada 1941 itu menghasilkan bahan letupan komersial untuk industri. – AFP