SINGAPURA, 10 SEPT – Sebuah penerbangan Air China melakukan pendaratan cemas di Singapura hari ini selepas enjin kirinya terbakar, menyebabkan sembilan daripada 155 orang di dalamnya mengalami kecederaan ringan, kata pihak berkuasa.
Penerbangan CA403 dari bandar Chengdu di barat daya China “mendapati asap di ruang simpanan kargo hadapan dan tandas” semasa dalam perjalanan ke negara bandar itu, menurut Lapangan Terbang Changi dalam satu kenyataan di Facebook.
Pesawat itu mendarat sekitar 4:15 petang (0815 GMT) dan “semua penumpang dan anak kapal telah dipindahkan dengan selamat”, kata kenyataan itu.
“Api di bahagian kiri enjin telah dipadamkan,” katanya.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata terdapat 146 orang penumpang dan sembilan anak kapal.

“Sembilan penumpang mengalami kecederaan ringan berkaitan terhidu asap dan melecet semasa proses pemindahan. Mereka telah dirawat,” katanya.
Klip video yang disiarkan di X, sebelum ini Twitter, menunjukkan penumpang keluar dari apa yang kelihatan seperti pesawat yang dilanda masalah, menggelongsor ke landasan.
Landasan itu ditutup seketika dan sebuah pesawat dilencongkan ke pulau berdekatan Batam di Indonesia, kata CAAS.
Ia berkata Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan sedang menyiasat kejadian itu dan telah menghubungi rakan sejawatannya dari China untuk membantu. – AFP