9 kit ujian diberi ‘lampu hijau’

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Kementerian Kesihatan telah mengemas kini senarai produk kit ujian pantas antigen COVID-19 yang telah diluluskan dan setakat ini sembilan jenis kit ujian diberikan kebenaran untuk digunakan.

Kebenaran tersebut diberikan hasil penilaian yang ditentukan dengan mengikut prestasi klinikal dan analisis kit ujian (sensitiviti dan spesifikasi oleh pihak pengeluar), piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan alat uji.

Kementerian Kesihatan, melalui Jabatan Perkhidmatan Makmal akan terus mengemas kini senarai kit ujian pantas antigen COVID-19 yang dibenarkan untuk memastikan kit ujian pantas antigen yang disediakan memenuhi standard yang diperlukan.

Produk-produk yang diberikan kebenaran oleh Kementerian Kesihatan adalah Panbio COVID-19 RAPID Test Device (jenis sampel Nasopharyngeal dan Nasal), Biocan Tellmefast COVID-19 Antigen Test (jenis sampel Saliva), Innovita One Step Rapid Test (2019-nCoV Ag Test) (jenis sampel Anterior Nasal Swab), QuickVue At-Home OTC COVID-19 Test (jenis sampel Nasal), Roche SARS-CoV-2 Antigen Self-Test Nasal (jenis sampel Nasal), Arista COVID-19 Antigen Rapid Test (jenis sampel Nasal), Newgene Bioengineering COVID- 19 Antigen Detection Kit (jenis sampel Sputum dan Nasopharyngeal), dan Alltest COVID-19 Antigen Test Oral Fluid Self-Testing (jenis sampel Saliva (Oral Fluid)).

Bagi orang ramai yang ingin melihat senarai yang telah dikemas kini juga boleh merujuk ke laman sesawang Kementerian Kesihatan.