LABUAN, 2 OGOS – Sembilan kontena mengandungi bekalan gula terkandas di pelabuhan kontena, Labuan Liberty Wharf sejak seminggu lepas.
Barang keperluan seberat 142.56 tan dalam kontena berukuran 10×20 kaki itu diimport dari Semenanjung untuk menampung keperluan tempatan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan Junaidah Arbain berkata gula itu diimport oleh tiga pemborong iaitu Pemborong Sazarice sebanyak 71.28 tan, Pemborong Chuan Hut (47.52 tan) dan Pemborong Kelas Mahir (23.76 tan).
“Saya telah menghubungi pemborong berkenaan dan difahamkan terdapat isu yang tidak dapat diselesaikan antara pemborong dengan ejen dilantik mereka untuk membuat pelepasan dengan operator pelabuhan.
“Kami berharap mereka dapat menyelesaikan isu ini secepat mungkin supaya kita dapat mencapai resolusi pada masalah kekurangan bekalan gula di pulau ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Junaidah berkata semakin lama mereka (pemborong) membiarkan bekalan gula itu terkandas di pelabuhan, caj yang perlu ditanggung juga akan bertambah.
Beliau berkata Labuan mengalami masalah kekurangan bekalan gula sejak hujung tahun lepas dengan semua pasar raya dan pasar raya besar meletakkan had pembelian kepada satu peket gula bagi setiap pelanggan.
“Adakalanya pasar raya dan pasar raya besar ini kehabisan stok gula,” katanya. – Bernama