Saturday, January 25, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    9 masalah lazim ketika proses kehamilan

    BERITA kehamilan sering menjadi khabar indah buat ramai wanita yang belum memiliki zuriat mahupun sedang menanti cahaya mata baru dalam keluarga. Dalam tempoh menanti, ada yang kecewa, tidak kurang juga yang sujud gembira.

    Tamatnya fasa menunggu menjadi permulaan kepada cerita baharu. Bagi kebanyakan wanita, perubahan diri pastinya memberi sedikit tekanan jika tidak diurus dengan baik.

    Bagaimanapun, rezeki dan amanah baharu tetap perlu dijaga sebaik-baiknya. Tidak kira sama ada sudah bersedia atau tidak, akan ada banyak lagi perkara baharu dan perubahan diri yang perlu dilalui. Di sini dikongsikan sembilan masalah kesihatan paling lazim berlaku sepanjang proses kehamilan untuk dijadikan panduan ringkas:

    1. Alahan atau mabuk hamil

    Sekurang-kurangnya 60 peratus daripada ibu mengandung akan mengalami simptom mabuk hamil seperti loya, muntah-muntah, hilang selera makan atau alah kepada bau, persekitaran mahupun individu tertentu.

    Keadaan ini tidak semestinya bermula pada awal tempoh kehamilan, sebaliknya boleh berlaku sekitar minggu keenam dan berakhir paling lewat ketika usia kandungan mencecah 16 minggu.

    Kira-kira 30 peratus wanita yang mengandung boleh mendapat jangkitan saluran kencing (UTI). Dalam kebanyakan kes, UTI berlaku apabila sistem perkumuhan itu dijangkiti bakteria. Kadang-kadang, jangkitan ini juga boleh berlaku secara senyap. Wujud kuman, namun tiada simptom. Sebab itulah doktor atau jururawat akan mengulang ujian air kencing setiap kali pemeriksaan kehamilan di klinik.

    Tahap keterukan mabuk hamil juga berbeza antara wanita. Ada ibu yang mengalami mabuk hamil paling teruk atau gravidarum hiperemesis (loya dan muntah teruk semasa hamil trimester pertama sehingga mengakibatkan asidosis iaitu keadaan asid darah yang kurang daripada pH 7.3, dehidrasi dan susut berat badan).

    Mereka yang berdepan keadaan ini perlu mendapatkan nasihat dan rawatan di samping mengubah diet harian supaya bersesuaian dengan selera serta keadaan tubuh.

    2. Gastrik

    Percaya atau tidak, wanita berisiko mendapat gastrik lebih teruk ketika hamil. Keadaan ini berlaku kesan hormon reproduktif yang menyebabkan otot sempadan antara saluran pemakanan esofagus dengan perut ‘longgar’ sedikit.

    Situasi ini akan menyebabkan asid melimpah keluar dari perut dan naik semula ke dalam esofagus. Asid inilah yang akan menyebabkan rasa pedih ulu hati dan gastrik. Saiz anak damit dalam rahim yang semakin membesar juga akan menyebabkan perut gagal menjalankan proses penghadaman dengan baik.

    3. Jangkitan pundi kencing yang kerap

    Kira-kira 30 peratus wanita yang mengandung boleh mendapat jangkitan saluran kencing (UTI). Dalam kebanyakan kes, UTI berlaku apabila sistem perkumuhan itu dijangkiti bakteria.

    Kadang-kadang, jangkitan ini juga boleh berlaku secara senyap. Wujud kuman, namun tiada simptom. Sebab itulah doktor atau jururawat akan mengulang ujian air kencing setiap kali pemeriksaan kehamilan di klinik. UTI yang tidak dirawat boleh mendatangkan sakit dan risiko jangkitan sampai ke buah pinggang.

    4. Sembelit

    Ini masalah lazim buat wanita mengandung. Hampir semua wanita hamil pernah mengadu mengalami sembelit terutama apabila kandungan semakin membesar.

    Tahap keterukan sembelit pula berbeza-beza mengikut individu. Ada yang tidak dapat membuang air besar berhari-hari lamanya, ada yang rasa tidak selesa (kembung) pada abdomen dan ada juga yang mengeluh bimbang kerana najis keras dan sukar dikeluarkan.

    Sembelit berlaku atas beberapa faktor antaranya peningkatan hormon progesteron yang menyebabkan usus memproses makanan dengan lebih lambat atau perlahan. Selain itu, sembelit juga boleh terjadi disebabkan tekanan, rasa bimbang, kurang pengambilan serat, air dan pergerakan fizikal.

    Satu lagi punca berlakunya sembelit adalah kerana saiz janin yang semakin besar dan menyebabkan tekanan pada usus. Secara tidak langsung, ibu akan berasa susah sedikit untuk membuang air besar.

    Sebagai panduan, doktor kerap menasihatkan wanita hamil minum air yang cukup (1.5 liter sehari), mengambil sumber serat dan mengamalkan pemakanan sihat. Jika semua pilihan sudah dicuba tetapi masih juga sembelit, barulah doktor akan membekalkan ubat bersesuaian.

    Kira-kira 60 peratus ibu mengandung akan mengalami simptom mabuk hamil seperti loya, muntah-muntah, hilang selera makan atau alah kepada bau, persekitaran mahupun individu tertentu. – Gambar hiasan
    Ada wanita mengadu kejang terutama pada sebelah pagi, ketika sejuk atau melakukan pergerakan secara tiba-tiba. Kekejangan mudah berlaku kepada wanita hamil yang kurang mengambil kalsium. Walaupun semua wanita boleh mengalaminya tetapi ia jarang berlaku. Untuk mengatasinya, amalkan meminum susu dua gelas sehari dan mengambil kalsium mengikut saranan doktor. Mereka juga perlu mendapatkan rehat yang cukup. – Gambar hiasan

    5. Bengkak atau urat simpul

    Urat simpul atau vena varikos adalah keadaan di mana salur darah berwarna ungu atau biru kelihatan timbul dan nyata pada kaki individu. Jika diperhatikan, masalah ini lebih banyak berlaku kepada wanita berbanding lelaki.

    Bagi wanita yang sudah mempunyai urat simpul, ia mungkin menjadi lebih teruk ketika hamil. Ini kerana janin, uri dan rahim menekan salur darah pada bahagian pelvik. Ini termasuklah salur darah besar (vena kava inferior) pada bahagian kanan badan.

    Tekanan yang diterima vena kava inferior seterusnya membuatkan darah dari kaki sukar kembali ke jantung. Kesannya, kaki akan mudah penat, kejang pada sebelah malam, bengkak pada buku lali dan sebagainya.

    Bagi wanita yang sudah banyak kali hamil, risiko akan meningkat seiring kehamilan seterusnya. Perlu diketahui bahawa urat simpul tidak menyebabkan masalah serius. Namun jika ia berlaku di kawasan perineum, doktor perlu mengawasinya ketika proses bersalin. Ini bagi memastikan perineum tidak terkoyak sekali gus menyebabkan pendarahan yang teruk.

    6. Diabetes gestasi

    Dalam keterujaan mengidam pelbagai hidangan, jangan lupa mengandung juga boleh menyebabkan risiko kencing manis dan darah tinggi.

    Diabetes gestasi lazimnya berlaku kepada golongan ibu hamil yang mempunyai sejarah keluarga kencing manis. Dalam tempoh ini, badan biasanya akan menghasilkan lebih insulin untuk memenuhi keperluan anak damit. Namun jika badan ibu tidak boleh menyediakan insulin tambahan ini, tubuhnya akan mempunyai terlalu banyak gula dalam darah sekali gus mengakibatkan diabetes gestasi.

    Doktor akan nasihatkan ibu supaya menjaga diet dan mengurangkan pengambilan karbohidrat. Tidak kira sama ada kencing manis atau darah tinggi, lazimnya kedua-dua masalah ini akan hilang selepas bersalin.

    7. Kekejangan

    Ada wanita mengadu kejang terutama pada sebelah pagi, ketika sejuk atau melakukan pergerakan secara tiba-tiba. Kekejangan mudah berlaku kepada wanita hamil yang kurang pengambilan kalsium. Walaupun semua wanita boleh mengalaminya tetapi ia jarang berlaku.

    Untuk mengatasinya, amalkan meminum susu dua gelas sehari dan mengambil kalsium mengikut saranan doktor. Mereka ini juga perlu mendapatkan rehat yang cukup.

    8. Sindrom terowong karpus

    Kebas dan tidak selesa pada bahagian tangan serta jari semasa hamil berkemungkinan disebabkan oleh sindrom terowong karpus. Ia boleh terjadi berikutan kebengkakan dan peningkatan berat semasa hamil hingga menyebabkan urat saraf deria terhimpit.

    Tidak terjadi kepada semua wanita hamil, masalah ini selalunya berlaku pada waktu pagi, ketika sejuk atau duduk dalam ruang yang dilengkapi pendingin hawa. Bagi kebanyakan wanita yang mengalaminya, rasa kebas dikatakan berterusan sepanjang hamil dan hilang selepas anak damit dilahirkan.

    Namun bagi sesetengah wanita, keadaan ini boleh jadi teruk dan berterusan selama beberapa bulan. Cuba rendam tangan dalam air suam dan lakukan latihan regangan secara kerap.

    9. Kaki bengkak

    Bengkak air memang biasa. Senario ini berlaku apabila kandungan menjengah usia tujuh ke lapan bulan. Namun, jika kesan bengkak tidak sama kanan dan kiri, sakit serta berdenyut, ibu dinasihatkan membuat pemeriksaan doktor kerana bimbang berlakunya salur darah sempit.

    Dapatkan rehat mencukupi dan sentiasa duduk dalam keadaan kaki lebih tinggi. Alaskan kaki dengan bantal ketika berehat, baring atau tidur untuk mengurangkan kesan bengkak. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda