9 maut insiden bangunan runtuh

LAGOS, 14 Mac – Sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala ramai lagi masih terperangkap selepas bangunan yang menempatkan sebuah sekolah dan beberapa unit pangsapuri runtuh kelmarin di hab komersial Lagos, Nigeria.

Seorang pegawai penyelamat tempatan memaklumkan agensi berita China Xinhua bahawa sekurang-kurangnya sembilan mayat telah ditemui dan sekolah di bangunan tiga tingkat dalam kawasan Ita-Faji di Pulau Lagos itu mempunyai 172 murid berdaftar.

Ibrahim Farinloye, penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan di wilayah barat daya Nigeria, berkata sukar untuk memberikan jumlah mangsa yang terkorban atau cedera ke-rana operasi menyelamat masih dijalankan.

Kebanyakan mangsa yang maut adalah murid sekolah rendah swasta di bangunan itu dan “kira-kira 50 lagi berjaya diselamatkan,” kata pegawai itu.

Hospital Umum Pulau Lagos, di mana kebanyakan mangsa yang terselamat dihantar untuk rawatan, telah mengesahkan bahawa 41 orang berada dalam ‘keadaan stabil.’

Anggota kecemasan dan penyelamat dilihat berada di lokasi di mana runtuhan bangunan itu berlaku di Lagos. Sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala ramai lagi masih terperangkap selepas bangunan yang menempatkan sebuah sekolah dan beberapa unit pangsapuri runtuh di hab komersial Lagos, Nigeria. – AFP

Bangunan itu telah ditandakan sebanyak tiga kali untuk dirobohkan, menurut para pegawai bangunan negeri Lagos.

Murid sekolah terbabit sedang belajar dalam kelas pada kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan apabila bangunan itu runtuh tanpa amaran di kawasan yang padat dengan penduduk di Lagos.

Penduduk pangsapuri di bangunan itu dan pemilik kedai yang terletak di luar premis tersebut turut terjejas.

Penduduk yang terkejut dan orang ramai di kawasan itu serta ibu bapa yang panik, bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu usaha menyelamat sebelum pekerja kecemasan tiba.

Seorang bapa yang meraung kerana kehilangan satu-satunya anak lelakinya terpaksa dipegang dan ditenangkan oleh rakan-rakan.

Punca runtuhan belum dapat dipastikan.

Akinwunmi Ambode, gabenor negeri Lagos, berkata satu siasatan terperinci akan dilakukan berhubung insiden itu.

Sementara itu, Presiden Nigeria Muhammadu Buhari dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Abuja kelmarin menzahirkan rasa dukacita beliau berhubung insiden runtuhan tersebut yang menyebabkan kemalangan jiwa, terutama kanak-kanak.

Beliau bersimpati dengan ibu bapa dan saudara mara mangsa serta berharap mereka yang cedera cepat sembuh.

Presiden itu telah meminta kerajaan negeri Lagos, yang merupakan hab ekonomi Nigeria, ‘melakukan segala yang diperlukan agar insiden tragis sedemikian tidak berulang pada masa akan datang.’ – Bernama