CONAKRY, 6 NOV – Kira-kira sembilan orang terbunuh semasa kejadian lari dari penjara di Guinea pada hujung minggu, yang menyaksikan pasukan komando bersenjata secara pantas mengeluarkan bekas diktator Moussa Dadis Camara dari penjara.
Pasukan komando tersebut menyerbu masuk ke dalam penjara di bandar Conakry awal Sabtu, membawa keluar Camara dan dua orang bekas pegawai, yang masih dalam pembicaraan berhubung pembunuhan beramai-ramai pada 2009 semasa beliau menjadi presiden.
Masih tidak jelas sama ada Camara telah melarikan diri atas kehendaknya sendiri, yang disifatkan tentera sebagai satu percubaan untuk ‘mensabotaj’ pembaharuan kerajaan.
Lewat Sabtu, tentera dan peguam Camara berkata beliau telah ditangkap semula dan ditempatkan semula dalam penjara tanpa memberikan butiran lanjut.
Dua daripada lelaki yang ditahan bersama Camara juga telah dipulangkan ke penjara, sementara yang ketiga,Claude Pivi, masih bebas.
Menurut satu kenyataan dari Pendakwa Raya Negara Yamoussa Conte hari ini, sembilan orang telah mati akibat operasi tersebut, termasuk tiga orang penyerang yang disyaki, empat anggota keselamatan dan juga dua orang awam yang berada di dalam ambulans.
Laporan akhbar sebelum ini mengatakan bahawa orang awam yang berada di dalam ambulans tersebut telah mengalami kecederaan semasa aksi berbalas tembakan dalam serbuan itu. – AFP